Caj Kaunseling Beban Pengguna - Bonda

Monday, 16 July 2018

Caj Kaunseling Beban Pengguna


KUALA LUMPUR: Kos mendapatkan khidmat kaunseling yang tidak selaras menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengenakan caj membebankan hingga menyukarkan individu mendapatkan bimbingan ketika berhadapan situasi getir.

Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata caj perkhidmatan sesi kaunseling membebankan menyebabkan individu bermasalah gangguan emosi seperti kemurungan, kebimbangan serta tekanan hidup tidak mampu mendapatkan khidmat berkenaan.

Beliau berkata, ini berikutan kebanyakan perkhidmatan ditawarkan terlalu tinggi hingga membebankan pesakit yang begitu memerlukan namun terpaksa melupakan hasrat berkenaan.

Katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memantau dan menetapkan harga standard perkhidmatan ini.

"Kerajaan perlu menetapkan satu kadar khusus bagi setiap perkhidmatan ditawarkan. Penetapan itu sebagai penanda aras standard bagi khidmat kaunseling selain melancarkan sesi rundingan.

"Satu mekanisma perlu ada supaya perkhidmatan sedemikian dapat dimanfaatkan semua pihak demi kesejahteraan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh.

"Kerajaan disaran meneliti semula keperluan rawatan kaunseling ini dengan memberikan perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat yang memerlukannya," katanya ketika dihubungi BH, di sini baru-baru ini.

Dr Mariani berkata demikian ketika diminta mengulas senario semasa gangguan emosi dalam kalangan masyarakat hingga mereka hilang pertimbangan dan sanggup melakukan perubatan luar kawalan termasuk, membunuh, perlakuan yang bahayakan individu lain dan bunuh diri.

Tinjauan BH ke beberapa hospital dan pusat perubatan swasta sekitar Lembah Klang mendapati, kos rawatan sesi kaunseling di antara RM100 hingga RM400 bagi setiap kali pertemuan.

Klinik Psikologi Kesihatan beberapa hospital mengajar pula mengenakan caj di antara RM50 hingga RM200. Ada juga segelintir pihak mengenakan caj mengikut jam rundingan, kadar itu sungguh membebankan terutama bagi mereka yang kurang mampu. Kos yang dikenakan tidak termasuk ubat yang disarankan doktor kepada pelanggan.

Berhadapan situasi sedemikian, Dr Mariani berkata, individu yang berhadapan masalah gangguan emosi memerlukan sokongan daripada orang terdekat antaranya pasangan, ahli keluarga dan sahabat.

Beliau berkata, mereka ini sepatutnya menjadi rujukan awal membantu individu bermasalah, sekurang-kurangnya mendengar dengan sabar apa yang hendak dikongsikan.

Katanya, secara asas menerusi perkongsian ini, individu berhadapan krisis berupaya mengurangkan separuh daripada masalah dihadapi.

"Hanya masalah yang kompleks sahaja dirujuk kepada pakar psikologi yang dilihat sebagai jalan terakhir menyelesaikan perkara yang membelenggu," katanya.

Mengulas laporan seorang wanita didakwa mendera hingga menyebabkan kematian anak lelaki berusia 10 tahun di Kuantan, Pahang baru-baru ini, Dr Mariani berkata, kesihatan mental wanita berkenaan dipercayai terganggu hinggakan tidak dapat berfikir waras sebaliknya bertindak mendera hingga mati.

"Lazimnya perbuatan sedemikian disebabkan pelbagai faktor antaranya kesan masalah lampau yang tidak selesai. Perlakuan itu berulang kerana tertuduh dilaporkan pernah mendera mangsa beberapa kali sebelum ini," katanya.

Kes:

* 10 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Muhammad Luthhakim Abdullah, meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya yang berusia 29 tahun di Permatang Badak, Kuantan.

Punca kematiannya disebabkan pendarahan di bahagian esofagus.

Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat banyak kesan lebam ditemui pada bahagian pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung, bahagian siku kiri, bahagian bawah ketiak kanan dan kesan melecur bahagian kemaluan mangsa.

* 22 Jun: Seorang ibu didakwa membunuh dengan menggelar leher anak lelakinya, Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal, 19 bulan sehingga mati di rumah mereka di Felda Jengka 13, Maran. Wanita itu mendakwa perbuatan di luar sedar.

* 5 Februari 2017 : Seorang bayi perempuan berusia 82 hari mati dikelar di bahagian kiri leher dengan pisau pemotong sayur, dipercayai dilakukan ibunya yang berusia 32 tahun, di kuarters tentera di Kok Lanas, Machang.

* 31 Januari : Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, 9.

Statistik KPWKM kes dera sepanjang tempoh 2015-2017

Sejumlah 4,652 kes penderaan membabitkan kanak-kanak

* 2,470 penderaan fizikal mencatatkan

* 2,012 penderaan seksual

* 170 penderaan emosi

No comments:

Post a Comment