Kes Adam Rayqal Tidak Berperikemanusiaan - TPM - Bonda

Wednesday 4 July 2018

Kes Adam Rayqal Tidak Berperikemanusiaan - TPM

DATUK Seri Dr Wan Azizah pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di Ulaanbaatar. - Foto BERNAMA

ULAANBAATAR (Mongolia): Datuk Seri Dr Wan Azizah menyifatkan kes pembunuhan bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi, yang ditemui mati dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves kelmarin, sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga mengakui keperluan setiap pengasuh berdaftar di bawah kementeriannya.

"Kes ini satu contoh keperluan untuk kita mengawal selia pengasuh (tak berdaftar), kes ini jarang berlaku.

"Saya masih menanti laporan penuh daripada timbalan saya sebelum memikirkan langkah konkrit untuk mengelak kes seperti berlaku lagi," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini, semalam.


NSTP melaporkan Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas dikatakan pengasuh tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di rumah pengasuh terbabit kira-kira 6.30 petang, kelmarin.

Bagaimanapun, siasatan polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira jam 11 malam selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangannya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, setiap pengasuh perlu menjalani latihan asas penjagaan bayi sebelum dibenarkan beroperasi di rumah.

"Ramai ibu bapa yang bekerja perlukan pengasuh, tapi mereka (pengasuh) kena belajar asas dulu," katanya.

Beliau berkata agensi kerajaan dan swasta juga perlu menyediakan pusat penjagaan anak di pejabat.

"Ini salah satu syor yang boleh dipertimbangkan. Bagaimanapun kita perlu bincang dan selesaikan beberapa isu teknikal seperti syarat pihak berkuasa tempatan yang mahu pusat itu diwujudkan di tingkat bawah," katanya.

Sumber : Berita harian

No comments:

Post a Comment