KUALA LUMPUR: Tragedi menimpa Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif perlu dijadikan asas kukuh untuk kerajaan memastikan pelaksanaan segera cadangan majikan wajib menyediakan pusat jagaan anak kakitangan di tempat kerja.
Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif (PEWANGI), Datin Nabilah Sanusi, berkata kejadian menimpa bayi berusia lima bulan itu bukan kes pertama kanak-kanak meninggal dunia di rumah pengasuh, antara lain akibat terjatuh dari buaian, tersedak susu dan penderaan.
Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif (PEWANGI) |
"PEWANGI amat sedih dengan tragedi menimpa Adam Rayqal. Kejadian itu harus menjadi titik tolak untuk kerajaan melalui Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga memastikan cadangan majikan wajib menyediakan pusat jagaan anak kakitangan di tempat kerja, direalisasikan segera.
"PEWANGI percaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga turut sedih dengan tragedi itu. Sebagai seorang ibu, beliau tentu tidak mahu kes seumpama ini berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian Selasa lalu di Kampung Nakhoda, Batu Caves, pengasuh Adam Rayqal mendakwa tersalah menyerahkannya kepada seorang lelaki menyamar sebagai bapa bayi itu.
Namun hasil siasatan polis, bayi yang dilaporkan hilang itu kemudian ditemui mati di rumah pengasuh terbabit dengan mayatnya disorokkan di bahagian sejuk beku peti ais dua pintu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, dilaporkan sebagai berkata mayat Adam Rayqal lengkap berpakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat di dalam beg berwarna hijau, ditemui sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah terbabit.
Susulan itu, polis menahan pengasuh berusia 33 tahun terbabit bersama rakan serumahnya berumur 36 tahun, dan kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
BACA JUGA : Bayi Diculik Dijumpai Dalam Peti Sejuk
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, pula dilaporkan sebagai berkata hasil bedah siasat terhadap mangsa menemukan kesan retak pada tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan di bahagian kanan otaknya.
Mengulas lanjut, Nabilah berkata, kes berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai nilai kemanusiaan seseorang individu terhadap kanak-kanak.
"Adakah individu yang melakukan perkara ini tiada perasaan kasih terhadap anak sekecil itu?
"Apapun alasan diberi individu melakukan perbuatan kejam ini, ia tidak seharusnya menjadi sebab untuk mereka yang bersalah terlepas daripada hukuman setimpal," katanya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment