Wanita Jangan Taksub Pakai Pendakap Gigi - Bonda

Saturday 11 August 2018

Wanita Jangan Taksub Pakai Pendakap Gigi


Usah ghairah menjalani rawatan mencantikkan gigi semata-mata untuk kelihatan menawan.

Sesetengah individu lebih mengutamakan untuk mencantikkan struktur gigi seperti memasang pendakap gigi, (braces), ‘crown’, ‘veneer’, ‘bridge’, menanam gigi atau memakai gigi palsu, tanpa menjaga kebersihan sebaiknya.

Berwaspada dan periksa dulu supaya tidak terjebak mendapatkan rawatan daripada pakar tidak bertauliah.

Mencantikkan gigi seperti memasang pendakap daripada doktor tidak bertauliah dikhuatiri berhadapan dengan kesan sampingan selepas memasang alat berkenaan.

Penggunaan pendakap gigi perlu mendapatkan konsultasi dan rawatan dari pakar Ortodontik, namun nasihat sedemikian ada yang tidak diendahkan.

Pensyarah Kanan dan Perunding Prostodontik, Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM), Dr Siti Fauzza Ahmad, berkata pendakap boleh digerakkan bagi meluruskan (menjajarkannya) gigi.

Katanya, pergerakan itu berisiko menyebabkan masalah lain seperti kehilangan atau gigi goyang jika tidak dilakukan dengan betul.

Secara logik, rawatan dilakukan di unit kediaman atau premis tertentu dan dikhuatiri ditawarkan bukan doktor pakar.

Pengguna perlu bijak dan tidak terpedaya dengan perkhidmatan itu.

Ada yang menjanjikan rawatan meragukan termasuk memasang gigi palsu yang ‘melekat’ di dalam mulut hingga tidak boleh ditanggalkan, dengan alasan cara itu kelihatan asli.

“Sebenarnya apa yang dilakukan mereka hanya mengikat gigi palsu berkenaan kepada gigi bersebelahan dengan dawai. Kemudian menutup dawai dengan bahan berwarna merah jambu seperti gigi palsu.

“Selain masalah kebersihan dan kawalan jangkitan, pesakit juga tidak dapat membersihkan gigi dan gusi di kawasan yang sudah ditutup.

“Makanan di celah gigi dan gusi serta gigi palsu cepat berkumpul. Jika tidak dibersihkan dengan sempurna kesannya boleh merosakkan gigi, gusi, berbau busuk hingga menjejaskan kesihatan mulut,” katanya.

Justeru, individu perlu membuat pemeriksaan kesihatan bertujuan menentukan rawatan terbaik bagi mengelak kegagalan sesuatu prosedur.

Katanya, apa sahaja rawatan yang dipilih sepatutnya tidak menjejaskan kesihatan gigi dan mulut.

“Buat pemeriksaan menyeluruh dan kenal pasti mengapa anda mahu mendapatkan rawatan atau mencantikkan gigi,” katanya.

Dr Siti Fauzza berkata, apa juga prosedur ia mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing.

“Jika kesihatan mulut tidak diberi perhatian khusus, dikhuatiri apa sahaja prosedur rawatan yang dilakukan tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan susulan seminggu selepas memasang pendakap gigi perlu untuk menilai tahap keberkesanan sesuatu prosedur.

Penilaian susulan itu bagi mengatasi masalah yang mungkin timbul selepas mendapatkan rawatan terutama pesakit yang memasang gigi palsu.

“Malangnya, ada pesakit enggan berjumpa doktor atas pelbagai alasan termasuk mendakwa prosedur gagal memenuhi impian sebaliknya mencari doktor lain menyelesaikan masalah yang timbul.

“Tindakan ini silap kerana pesakit terpaksa menjalani pemeriksaan semula. Lebih baik jika masalah dirujuk doktor sama sama kerana ada rekod rawatan dan kesihatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment