Perkembangan ialah satu proses yang berlaku secara berterusan dari peringkat lahir hinggalah peringkat kematangan. Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara ‘kualitatif’ serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Menurut Karl E. Garrison pula, perkembangan terhasil daripada tindakan yang saling berkait antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan itu, iaitu berbentuk struktur, kemahiran tingkah laku ataupun sahsiah, adalah mengikut beberapa aturan semula jadi dan sifat-sifat yang sejagat.
Secara ringkasnya, perkembangan juga boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu. D.S. Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat (baka) dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur. Menurut Atan Long pula, perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Tambahan pula, perkembangan sentiasa berlaku secara berterusan dari permulaan percambahan hingga ke akhir hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat yang lebih matang, tetapi perkembangan terus berlaku walaupun pada peringkat kematangan yang maksimum.
Kesimpulannya, perubahan itu bersifat kualitatif iaitu perubahan dari segi fungsi. Proses perkembangan membawa perubahan ke arah sifat-sifat yang sejagat serta mengikut aturan semula jadi Menurut kajian yang di buat oleh ahli psikologi, perkembangan manusia yang terdiri daripada aspek perubahan jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani adalah dipengaruhi oleh 2 faktor utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran. 2 faktor utama ini dikaitkan dengan pertumbuhan iaitu perubahan fizikal tubuh badan manakala perkembangan pula pada asasnya ialah perubahan tingkahlaku mental individu.
Perbezaan antara pertumbuhan dan perkembangan sebenarnya dapat diterangkan melalui perbezaan beberapa aspek iaitu aspek jasmani, mental, emosi dan juga sosial. Jika dilihat dari aspek jasmani, pertumbuhan ditafsirkan kepada pertumbuhan saiz fizikal, berat badan, organ deria dan lain-lain. Manakala perkembangan pula ditafsirkan sebagai kemahiran menggunakan pertumbuhan fizikal seperti berjalan, berlari, menonton televisyen, mendengar muzik dan sebagainya. Perbezaan dari aspek mental bagi pertumbuhan boleh ditafsirkan sebagai peningkatan keupayaan berfikir manakala perkembangan mental bermaksud kemahiran berfikir, mengingat, mengira, menganalisis dan lain-lain.
Pertumbuhan dalam aspek emosi pula digambarkan sebagai perasaan seronok, gembira, duka, sedih dan sebagainya. Berbeza pula dengan perkembangan emosi, ia ditafsirkan kepada kemahiran untuk mengawal perasaan dalam pelbagai keadaan. Akhir sekali ialah perbezaan pertumbuhan dengan perkembangan dari aspek sosial. Bagi pertumbuhan, ia dilihat sebagaimeluaskan komunikasi, perhubungan dan pergaulan dengan orang lain manakala bagi Perkembangan sosial pula, ianya ditaktifkan kemahiran mendisiplin dan penyesuaian diri dalam pergaulan dengan orang lain.
Corak pertumbuhan dan perkembangan adalah sebenarnya sama sahaja tetapi kadarnya berbeza bagi setiap individu. Pertumbuhan juga berlaku hingga satu tahap tertentu sahaja dan akan mula berhenti dan merosot, tetapi perkembangan akan berlaku secara berterusan hingga akhir hayat.
Menurut Mok Soon Sang(2009), pertumbuhan dikatakan berlaku dalam dua arah iaitu dari atas ke bawah dan dari tengah ke tepi. Perkembangan dan pertumbuhan ini sebenarnya adalah saling berinteraksi. Sebagai contohnya, pertumbuhan jasmani atau fizikal yang kurang sihat boleh menjejaskan perkembangan rohani, emosi dan sosial.
Perkembangan dan pertumbuhan sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat seperti peringkat pralahir (prenatal) iaitu ketika dalam kandungan selama 9 bulan(sila rujuk gambar 1 dalam bahagian lampiran), peringkat bayi iaitu ketika berumur 0 hingga 2 tahun, peringkat awal kanak-kanak ketika berumur 2 hingga 3 tahun, peringkat pertengahan iaitu ketika kanak-kanak berumur 6 hinga 9 tahun, peringkat akhir kanak-kanak iaitu ketika berumur 9 hingga 11 tahun, peringkat awal remaja ketika berumur 11hingga15 tahun, peringkat pertengahan remaja iaitu ketika berumur 16 hingga18 tahun, peringkat akhir remaja ketika berumur 18 hingga 21 tahun, peringkat dewasa ketika berumur 21 hingga 60 dan peringkat tua selepas berumur 60 tahun keatas.
Menurut Haliza Hamzah(2009), prinsip asas perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada lima. Prinsip pertama ialah “proses perkembangan yang berlaku mengikut aturan”. Contohnya ialah seorang bayi yang pada peringkat awalnya hanya duduk dengan bantuan, kemudiannya diikuti dengan merangkak. Selepas itu, kebolehan berdiri dan seterusnya berjalan. Perkembangan ini juga bermula daripada konkrit kepada abstrak dan hal ini dapat dilihat terutamanya dalam perkembangan kognitif dan bahasa.
Prinsip kedua pula ialah “perubahan yang berlaku dalam pertumbuhan dan perkembangan yang beransur daripada keadaan umum kepada objek yang lebih spesifik”. Contohnya, seorang bayi kecil hanya boleh memegang dan menggenggam objek dengan tapak tangan sebelum menggunakan jarinya. Hal ini dapat memperlihatkan pertumbuhan berlaku dengan otot-otot kasar sebelum beransur ke pertumbuhan otot-otot halus.
Prinsip seterusnya ialah prinsip “pertumbuhan dan perkembangan merupakan satu proses yang berlaku secara berterusan”. Hal ini telah berlaku dalam proses perkembangan kanak-kanak yang menambah kemahiran sedia. Kemahiran yang sedia ada padanya adalah satu asas untuk pencapaian kemahiran-kemahiran baru pada masa yang akan datang.
Prinsip asas yang keempat ialah “corak dan aturan perkembangan yang hampir sama namun kadar perkembangan manusia adalah berbeza bagi setiap individu”. Keadaan ini merujuk kepada perkembangan kanak-kanak itu pada satu jangkamasa dan usianya. Sebagai contoh, terdapat kanak-kanak yang boleh berjalan pada usia 10 bulan manakala ada yang dapat berjalan pada usia 18 bulan. Perkara ini adalah satu faktor yang membawa kepada perbezaan antara manusia yang kita dapat lihat di dalam sesebuah bilik darjah.
Prinsip yang terakhir ialah perkembangan yang bergantung kepada hasil interaksi antara kematangan dan pembelajaran. Kematangan adalah kemunculan potensi yang sedia ada di dalam diri seseorang individu, misalnya merangkak, duduk, berjalan dan kemudiannya berlari. Perkembangan ini biasanya dipengaruhi oleh genetik. Pembelajaran merupakan hasil latihan, proses peniruan, atau identifikasi serta memerlukan usaha.
Proses pembelajaran membolehkan seseorang itu mengembangkan potensi sedia ada di dalam dirinya. Sebagai contoh otot dan saraf anggota badan yang sempurna membolehkan seseorang itu berenang namum dia hanya boleh berenang sekiranya berlatih atau meniru beserta dengan usaha
No comments:
Post a Comment