PERKAHWINAN adalah satu ikatan yang suci dan indah bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga, terutama bagi yang sudah lama mengimpikan ikatan suci itu sejak percintaan atau ketika bujang lagi.
Angan-angan indah yang dibayangkan sebelum perkahwinan memang semuanya manis kerana setiap perkahwinan masing-masing mahukan kebahagiaan kekal sehingga akhir hayat.
Namun, tidak semua perkahwinan itu kekal seperti yang diimpikan, kerana berdasarkan laporan sebelum ini usia perkahwinan iaitu lima tahun awal adalah tempoh kritikal.
Tempoh kritikal ini, membawa makna, banyak berlaku masalah, pertelingkahan sehingga berlakunya penceraian.
Tempoh penyesuaian
Menurut pakar motivasi yang juga kaunselor terkenal, Hushim Salleh, tempoh tersebut memang kritikal bagi pasangan suami isteri.
Hushim Salleh |
"Tempoh awal perkahwinan merupakan fasa penyesuaian antara pasangan. Ketika bercinta atau kenal, hanya mengenali secara biasa dari segi watak pasangan, perlakuan dan perangai. Ia tidak menonjol keseluruhan ketika bercinta.
"Tetapi apabila sudah berkahwin, duduk serumah, inilah masa kenal pasangan masing-masing dan watak sebenar akan kelihatan.
"Janji-janji sebelum perkahwinan, mula tidak ditunaikan setelah setahun berkahwin. Isteri pula pada awalnya boleh menerima perangai tersebut, namun masuk tahun kedua, sebal dalam hati isteri tidak tahan untuk disimpan lagi sehingga berlaku pertelingkahan dan ungkit-mengungkit," katanya ketika menjadi tetamu FB Live Sinar Harian Femina, pada Rabu lalu.
Tambahnya, bukan sahaja pertelingkahan disebabkan perangai dan watak pasangan, masalah kewangan juga antara punca ramai pasangan suami isteri muda bergaduh dan akhirnya bercerai.
"Ramai pasangan muda kini juga tidak sabar dan mudah untuk berpisah. Bagi mereka, hidup sendiri lebih baik daripada ada pasangan sehingga perlu menggalas tanggungjawab yang pelbagai," katanya.
Selain itu, lewat kini juga, banyak diperhatikan, ada isteri yang tidak kisah untuk berpisah kerana ramai isteri kini berkerjaya dan boleh uruskan rumah tangga sendiri tanpa suami.
Hushim mengakuinya berdasarkan kes yang diterima sepanjang menjadi kaunselor kepada banyak pasangan suami isteri.
"Ramai isteri yang menemui saya untuk mendapatkan kaunseling tidak kisah untuk ‘exit’ (tolak) suami ketika ini, kerana isteri tersebut boleh berdikari sendiri.
“Tidak sama ketika 30 ke 40 tahun lalu, di mana sekiranya suami melakukan apa saja masalah, isteri hanya mendiamkan diri," ujarnya.
Wajibkan kursus pasca perkahwinan
Justeru, sebagai langkah mengelak situasi tersebut terus meningkat dan parah, Hushim mencadangkan, agar setiap pasangan yang baru dua hingga lima tahun berkahwin, diwajibkan untuk menghadiri kursus pasca perkahwinan.
Katanya ia bagi mencari titik permasalahan dan kelemahan masing-masing agar boleh diperbaiki bersama.
"Masing-masing akan meluaskan apa yang tidak puas hati sepanjang perkahwinan mengenai pasangan kepada kaunselor bertauliah.
"Daripada luahan itu, kaunselor dapat kenal pasti punca masalah rumah tangga mereka dan berusaha untuk mencari penyelesaian bagi masing-masing menerima kelemahan dan memperbaiki.
“Justeru saya seru kepada pihak kerajaan untuk menyediakan kursus ini. Jika usaha ini tidak dilakukan pada peringkat awal, jumlah penceraian akan semakin tinggi,” katanya.
BACA JUGA : Wanita, Ini 9 Petanda Rahim Tak Sihat, Awas Jangan Biar Sampai Peranakan Jatuh!
No comments:
Post a Comment