ADI Putra mengakui wujud taktik pencungkil bakat negara luar melamar bakat pintar luar biasa Malaysia.
|
Selain bakat pintar dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat PERMATApintar Negara, golongan sama yang berada di luar lingkungan sistem itu turut menjadi sasaran pencungkil bakat yang berperanan sebagai ejen kepada negara luar.
Berdasarkan maklumat sekurang-kurangnya tiga hingga empat kanak-kanak pintar tempatan dalam kategori luar biasa khususnya dalam bidang digital, teknologi tinggi, akademik dan matematik, dikatakan menerima lamaran terbabit setiap tahun sejak 2015.
Jumlah itu hanya membabitkan peserta program dikendalikan Pusat PERMATApintar Negara dan ia dianggap besar kerana bilangan yang tersenarai dalam golongan genius luar biasa dikesan di negara ini setiap tahun tidak ramai, iaitu pada nisbah seorang kanak-kanak bagi sejuta populasi.
Sumber yang terbabit dengan pencarian bakat pintar tempatan, mengesahkan golongan itu di negara ini kini berada dalam radar beberapa negara luar, khususnya yang turut mempunyai program pembangunan bakat genius.
Beliau tidak mendedahkan negara yang dikatakan mencuri bakat pintar negara, namun semakan BH mengenal pasti silibus program pembangunan bakat genius turut disediakan secara lebih menyeluruh di negara seperti Singapura, Thailand, Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Jepun.
Tawar peluang pengajian di universiti ternama
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kegiatan mencuri bakat pintar itu berlaku sejak beberapa tahun lalu dengan pelbagai tawaran disediakan untuk melamar mereka.
“Kebiasaannya bakat pintar atau keluarga mereka didekati ejen atau wakil negara maju terbabit yang memainkan peranan mencungkil bakat, sebelum rundingan dimulakan.
“Antara yang ditawarkan biasanya menjanjikan peluang pengajian lebih terjamin di universiti ternama, insentif dana sara hidup serta biasiswa pengajian yang lumayan,” katanya kepada BH.
Sumber itu berkata, ketika ini pihaknya sudah mengesan ramai bakat pintar baharu dalam kalangan kanak-kanak tempatan untuk diserap mengikut bidang kritikal dikenal pasti, namun persaingan tinggi daripada tawaran ejen pencungkil bakat luar menjadi cabaran besar.
“Kita perlu pastikan kita mampu untuk ‘pegang’ mereka, kerana tidak mahu kelak ada orang lain yang berminat mengintai dan melamar bakat pintar ini dengan tawaran yang lebih menarik,” katanya.
Sementara itu, ikon genius matematik negara, Adi Putra Abdul Ghani, 19, turut mengesahkan pernah didekati dan ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dengan ditanggung sepenuhnya kerajaan luar, selepas muncul di kaca televisyen ketika usia enam tahun.
Ramai tak diiktiraf
Beliau mengakui mengejutkan apabila beberapa wakil negara luar boleh mendapat tahu terlebih dulu dan menawarkan tawaran sambung belajar ke luar negara, sebelum kerajaan negara ini sendiri membuat tawaran pembangunan bakatnya.
“Saya bernasib baik sebab ibu dan ayah mengesan bakat saya agak awal. Ramai juga kanak-kanak pintar mendapat tumpuan, namun masih ramai tidak diiktiraf, malah dibawa keluar negara.
“Ketika kali pertama saya muncul di televisyen, mereka terus datang beri tawaran. Agak menarik apabila kami dimaklumkan di luar negara bukan hanya ada program untuk kanak-kanak pintar, tetapi mereka juga memiliki ramai pemerhati mencari bakat pintar di seluruh dunia.
“Di negara maju khususnya AS mereka ada sistem mencungkil bakat pelajar yang tidak hanya tertumpu di negara itu, tetapi juga seluruh dunia untuk diberikan biasiswa, peluang belajar, menetap dan bekerja untuk kerajaan di sana,” katanya.
No comments:
Post a Comment