Ayam Masak Merah Sedap - Bonda

Friday, 29 June 2018

Ayam Masak Merah Sedap



Resipi Ayam Masak Merah sememangnya jadi menu kesukaan anak-anak kita di rumah. Kalau mak sediakan menu ini di hujung minggu, anak-anak melompat keriangan sambil tak sabar nak makan. Asyik jenguk ke dapur je. Suami pun macam tu juga. Begitu hebatnya penangan Ayam Masak Merah.

Bosan dengan resipi biasa, jom kita ikut resipi yang dikongsikan wanita bernama Rafiza Idayu. Rupanya nak rasa lebih menyengat kena letakkan serai dengan kuantiti yang agak banyak. Katanya, resipi Ayam Masak Merah yang di’infused’ rasa serai yang wangi dan buka selera. Jom ikut caranya. Nampak mengiurkan.

Saya berkempatan belajar dengan seorang yang menyediakan Ayam Masak Merah yang sangat sedap ketika jamuan kenduri kahwin anak beliau. Pesannya, letak serai banyak dan maniskan sedikit masakan tersebut.


Jom kita lihat langkah demi langkah

Bahan bahannya:



  • Ayam seekor dipotong 12 bahagian
  • Serbuk Kunyit
  • Garam
  • 30 biji lada kering
  • 2 inci halia
  • 2 biji bawang besar
  • 7 ulas bawang putih
  • 1 batang kayu manis
  • 5 biji bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga
  • 7 biji cengkih
  • 1 biji gula nisan (gula kerek @ gula nisse @ gula melaka @ gula perang)
  • 4 ketul asam gelugur (asam keping)
  • 2 biji tomato
  • 10 sudu sos cili (brand Kimball)
  • 10 sudu sos tomato (brand Kimball)
  • 12 batang serai


* Rasa akan berubah mengikut bahan atau brand yang digunakan. Contohnya sos cili brand Maggi akan sedikit masam. Jadi kurangkan penggunaan asam keping.

Caranya:


1. Setelah basuh dan toskan ayam, perap ayam sebentar dengan kunyit dan garam.

2. Goreng ayam tiga suku masak dan toskan. Jangan terlalu garing kerana ayam akan keras dan kurang juicy.

3. Ini tips yang penting untuk dapatkan aroma yang wangi dalam Ayam Masak Merah. Bawang besar hendaklah dihiris nipis. Jangan blender. Bawang besar yang
digoreng akan menerbitkan rasa manis dan wangi. Cili kering tadi direbus dan dikisar bersama bawang putih dan halia.

4. Panaskan minyak dan masukkan serai yang telah diketuk. Minyak masak akan beraroma serai yang wangi.

5. Kemudian masukkan bahan tumis.

Bahan tumis iaitu 4 sekawan :

+ Kayu manis

+ Bunga Lawang

+ Buah Pelaga

+ Cengkih

6. Kemudian masukkan bawang besar yang telah dihiris nipis.

7. Tumis sehingga naik bau. Tips untuk mengetahui bagaimana naik bau adalah bawa tangan di atas tumisan dan bawa aroma ke hidung.Belajar cara nak tau bau bawang wangi apabila ditumis. Ops! Elakkan bawa hidung ke gigi kuali.

8. Apabila dah naik bau, masukkan bahan yang telah dikisar tadi. Pastikan minyak tidak terlalu sedikit agar bahan tumisan masak cantik sekata. Jangan bimbang dengan bawang besar yang dihiris tadi kerana ia akan hancur semasa proses menumis.

9. Masak bahan kisar tadi sehingga pecah minyak. Kenapa perlu pecah minyak? Ia indikasi bahawa bahan kisar telah masak sempurna. Jika lauk kenduri, masakan akan lebih tahan lama dan mengelakkan sakit perut jika bahan tidak dimasak sempurna. Apabila telah pecah minyak, masukkan gula nisan.

10. Kemudian masukkan sos cili dan sos tomato.

11. Masukkan air pada kepekatan yang diingini.

12. Apabila telah mendidih, masukkan potongan buah tomato.

13. Masukkan asam keping.

14. Akhir sekali masukkan garam secukupnya. Hati hati semasa masukkan garam kerana sos sudah ada garam dan ayam goreng tadi juga telah diletakkan garam.

15.Apabila cukup rasa, masukkan ayam goreng tadi.

16. Gaul sebati ayam tersebut ke dalam kuah masak merah tadi. Alhamdulillah, cantik kejadian ayam masak merah kita.

Selamat Mencuba!

BACA JUGA : Lala Goreng Berlada

Sumber : Rafiza Idayu

No comments:

Post a Comment